Himpunan Hari Pekerja

Himpunan Hari Pekerja
JOM KE DATARAN MERDEKA

HIDUP BIAR UNTUK BERJUANG!

HIDUP BIAR UNTUK BERJUANG!
PROTEST NOW!

Tuesday, April 6, 2010

Tak Berjuang Maka Tak ada Hasil! Mansuh Undang2 Zalim!

SUARA RAKYAT MALAYSIA


Address: 433A, Jalan 5/46, Gasing Indah, 46000 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

Telephone: +6 03 7784 3525 Fax: +6 03 7784 3526

Email: suaram@suaram. net Web: www.suaram.net



MEMORANDUM KEPADA

SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA (SUHAKAM)

5HB APRIL 2010


MEMBANTAH PENAHANAN BENJY DI BAWAH SEKSYEN 3, AKTA DADAH BERBAHAYA (LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN KHAS) 1985 DAN MENUNTUT AGAR TAHANAN DIBERIKAN RUANG UNTUK MENDAPAT BANTUAN GUAMAN


Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengecam penangkapan dan penahanan terbaru di bawah Seksyen 3, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK) yang mana boleh membenarkan penahanan tanpa bicara selam 60 hari. SUARAM mengecam penggunaan LLPK atau mana-mana undang-undang yang melanggar prinsip asas hak asasi manusia, keadilan dan piawaian antarabangsa berhubung hak asasi.

Pada Hari ini SUARAM bersama dengan ahli keluarga dan pihak peguam ingin membawa perhatian SUHAKAM berkenaan beberapa pencabulan hak asasi yang berlaku dalam penahanan ini dan memohon perhatian segera dalam isu ini.

1. Latar Belakang


1.1 Pada 11.03.2010, Benjy telah ditangkap oleh beberapa anggota polis di tempat letak kereta kondominium Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut Kuala Lumpur.


1.2 Pada 12.03.2010, pihak polis telah membawa Benjy ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mendapatkan suatu perintah reman ke atasnya berdasarkan alasan bahawa mereka perlu menyiapkan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB”). Suatu perintah reman selama 7 hari telah diberikan oleh Mahkamah Majistret.


1.3 Sepanjang tempoh reman selama 7 hari tersebut, Benjy tidak berpeluang untuk mendapatkan bantuan atau nasihat guaman kerana pihak keluarganya termasuk Benjy telah dimaklumkan bahawa beliau tidak boleh diwakili oleh peguam dan tidak ada perlunya untuk beliau atau keluarganya untuk melantik peguam kerana tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh peguam.

1.4 Pada 17.03.2010, keluarga Benjy telah bertemu untuk seketika dengan Pemohon di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (“IPKKL”), semasa pertemuan tersebut juga pihak polis telah memaklumkan kepada Benjy dan keluarganya bahawa tidak ada perlunya untuk mereka melantik peguam kerana ianya adalah suatu perbuatan yang sia-sia.


1.5 Pada 18.03.2010, tahanan reman Benjy telah dilanjutkan selama 7 hari lagi. Selepas perlanjutan reman tersebut, keluarga Benjy telah melantik peguam.


1.6 Pada 19.03.2010, peguam Benjy telah pergi ke IPKKL dengan tujuan untuk berjumpa dan memberi nasihat guaman kepada beliau selaras dengan Artikel 5(3) Perlembagan Persekutuan dan Seksyen 28A Kanun Acara Jenayah. Namun demikian, peguam Benjy tidak berjaya untuk bertemu dengan Benjy.


1.7 Pada 19.03.2010, peguam Benjy telah menghantar surat rasmi kepada IPKKL meminta supaya perjumpaan dengan Benjy dapat dilaksanakan pada 22.03.2010. Namun demikian, melalui surat bertarikh 22.03.2010 pihak polis telah menyangkal hak Benjy untuk berjumpa dengan peguamnya.


1.8 Pada 23.03.2010 beberapa ahli keluarga Benjy dan peguam telah pergi ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (“Suhakam”) untuk membuat aduan berhubung dengan pencabulan hak-hak asasi Pemohon selaras dengan Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.


1.9 Pada 24.03.2010, baharulah peguam Benjy dibenarkan untuk berjumpa dengan Pemohon untuk tempoh masa yang singkat iaitu lebih kurang 30 minit sahaja.


1.10 Pada 25.03.2010, lebih kurang pukul 11.30 pagi, Benjy telah dipertuduhkan di Mahkamah Majistret Jenayah (4) Kuala Lumpur dengan satu tuduhan memiliki 0.24 gram methamphetamine di bawah Seksyen 12(2) ADB yang boleh dihukum dibawah Seksyen 12(3) ADB. Benjy telah minta untuk dibicarakan terhadap pertuduhannya dan Mahkamah Majistret telah membenarkan Benjy diikat jamin dengan jaminan sebanyak RM2000.00 dengan seorang penjamin.


1.11 Pada lebih kurang 2.00 petang, sejurus sahaja urusan ikat jamin selesai dan semasa Benjy, keluarganya bersama dengan peguamnya hendak keluar dari Pejabat Pendaftaran, Tingkat B1, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, sekumpulan orang berpakaian biasa telah menghampiri Benjy dan menangkap Pemohon tanpa memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis. Peguam Benjy telah meminta penjelasan dan maklumat berhubung dengan identiti dan pengenalan mereka. Semasa proses tersebut berlaku, peguam Benjy telah dikasari di mana kedua-dua tangannya telah dipegang tanpa kerelaannya oleh beberapa orang yang dipercayai anggota polis.


1.12 Hanya apabila didesak berkali-kali oleh peguam Benjy baharulah seseorang daripada kumpulan tersebut telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang Inspektor dan menyatakan bahawa Benjy ditangkap di bawah Seksyen 3 LLPK tanpa memberi alasan mengapa Pemohon ditangkap dibawah Seksyen 3 LLPK. Keluarga Benjy dan peguamnya kemudian telah pergi ke IPKKL dan hanya Berjaya berjumpa dengan Benjy untuk seketika


1.13 Pada 26.03.2010 peguam Pemohon telah menghantar surat kepada Bahagian Risikan Narkotik, IPKKL meminta agar beliau dapat berjumpa dengan Pemohon, tetapi sehingga kini peguam Benbjy masih belum menerima maklum balas bertulis berhubung dengan permohonan akses guaman tersebut.

2. Penafian Khidmat Guaman dan Lawatan Keluarga


2.1 Kami di SUARAM difahamkan bahawa semasa dalam tahanan reman polis keluarga Benjy hanya dibenarkan berjumpa Benjy sebanyak dua kali sahaja iaitu pada 17.03.2010 dan 24.03.2010. Tetapi selepas pembebasan Benjy atas jaminan sebanyak RM2,000.00 dan penangkapan semula pada 25.03.2010, melainkan perjumpaan seketika semasa di IPKKL, ahli keluarga Benjy dan peguam beliau tidak dibenarkan berjumpa dengan Benjy sehingga kini.


2.2 Manakala, peguam Benjy iaitu Amer Hamzah Arshad, juga sehingga kini masih belum dapat berjumpa dengan anak guamnya bagi tujuan akses guaman selepas Benjy ditahan oleh Polis dibawah Seksyen 3 LLPK. Semasa penangkapan semula Benjy di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 25.03.2010, peguam Benjy tidak dimaklumkan alasan penangkapan Benjy dibawah Seksyen 3 LLPK.


2.3 Apa yang mengecewakan lagi ialah, semasa penangkapan Benjy, peguamnya telah dihalang oleh pihak polis dan sekaligus tidak memberikan sebarang peluang kepada Peguamnya untuk memberikan khidmat guaman secara efektif kepada anak guamnya semasa insiden penangkapan berlaku. Ini merupakan satu pencabulan hak asasi yang tidak boleh diterima sama sekali.


2.4 Kini penafian kepada khidmat peguam khasnya dalam kes-kes penahanan tanpa bicara menjadi satu amalan dalam pasukan polis dimana para peguam tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anak guam mereka. Ini dapat dilihat dalam kes-kes seperti:


i) Penahanan 5 peguam dari Pusat Bantuan Guaman;

ii) Penafian khidmat peguam kepada 10 tahanan ISA yang ditahan dibawah ISA pada tahun ini.

iii) Penafian secara terus oleh tahanan untuk mendapatkan khidmat peguam dan sekaligus menafikan hak yang terdapat dalam Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28A Kanun Acara Jenayah.


2.5 Walaupun beberapa percubaan dan perundingan dilakukan bersama dengan polis. namun ianya tidak diberi perhatian oleh pasukan polis yang semakin hari semakin hilang kepercayaan di kalangan rakyat biasa kerana tidak menghormati hak asasi tahanan.


2.6 Ini dengan jelas dapat dilihat dalam Deklarasi hak Asasi Antarabangsa (Universal Declaration of Human Rights) dan Konvenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (International Covenant on Civil and Political Rights). Dalam konvenan tersebut secara terang dinyatakan bahawa:


The ICCPR guarantees an accused the right to defend himself in person or through legal assistance of his own choosing


Manakala, U.N Body of Principles for the Protection of All Persons Under Any form of Detention or Imprisonment, approved by the U.N General Assembly in 1988 menyatakan bahawa:


Guarantees the right to meet with counsel while in detention and the right to be visited and communicate with members of one's family.


Sama juga dengan, U.N Basic principles on the Role of Lawyers,


Guarantees the right to counsel and specifies that a detainee should have access to an attorney as soon as practicable after arrest and in any case not later forty-eight hours from the the time and arrest of detention”

3. Penangkapan Semula


3.1 Proses penangkapan semula yang dilakukan oleh pihak polis dan Kementerian dalam Negeri (KDN) dengan menggunakan tuduhan yang sama selepas mahkamah membebaskan tahanan-tahanan khususnya yang ditahan dibawah akta-akta penahanan tanpa bicara atau ‘preventive laws’, telah menjadi satu lagi amalan yang semakin digunakan oleh polis atas arahan KDN ataupun sebaliknya.


3.2 Acapkali, apabila mahkamah membebaskan tahanan-tahanan yang ditahan di bawah ISA, EO ataupun DDA atau LLPK, namun sejurus selepas mahkamah membebaskan tahanan ini, kerajaan atau Polis akan menangkap semula tahanan-tahanan ini atas alasan yang sama yang digunakan sebelum ini. Ini dengan jelas menunjukkan betapa kerajaan dan polis tidak menghormati mahkamah malah menghina proses mahkamah dengan melakukan penangkapan semula yang tidak memberikan hak perbicaraan kepada tahanan. Ini adalah salahguna kuasa oleh polis dan campurtangan Badan Eksekutif yang jelas dalam badan Kehakiman. Mahkamah tidak dapat melindungi tahanan khususnya tahanan-tahanan yang ditahan dibawah akta-akta sedemikian.


3.3 Malah, Konvenan Hak Sivil dan Politik Antarabangsa juga telah menyatakan dengan jelas dalam artikel mereka bahawa:


No one shall be liable to be tried or punished again for an offense for which he/she has already been finally convicted or acquitted in accordance with the law and penal procedure of each country


4. Penahanan Tanpa Bicara


4.1 Isu utama dalam undang-undang pencegahan ini adalah Penahanan Tanpa bicara. Menahan seseorang individu ataupun manusia dibawah akta-akta yang tidak memberikan peluang untuk mendapatkan perbicaraan dan proses bela diri di mahkamah adalah sesuatu yang menyalahi undang-undang Hak asasi Antarabangsa dan Hak asasi seorang manusia yang fundamental seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948; Fasal 9,10,11 dan 13 Konvenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966 Fasal 9 dan 12, Piagam Hak Asasi Manusia Malaysia Fasal 12 dan Perlembagaan Malaysia Fasal 5.


4.2 Tiada seorang pun bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah adalah asas utama dalam persoalan penahanan tanpa bicara. Sekiranya ianya tidak dihormati dan dengan adanya kuasa yang berlebihan di tangan kerajaan dan polis maka, undang-undang seperti ini sering digunakan untuk mempertahankan kedudukan pihak kerajaan dan polis yang seringkali gagal untuk membuktikan sebarang individu yang ditahan dibawah akta-akta ini.


4.3 Amatlah memalukan bahawa kerajaan mengamalkan ‘double standards’ dalam isu berhubung ISA, EO dan LLPK. Di satu pihak, rancangan untuk mengkaji semula akta-akta ini dan penahanan terbaru secara sembunyi tanpa sebarang pengumuman dibuat adalah sesuatu yang kontradik. Ini lebih kepada Retorik daripada praktikal. Amalan kerahsiaan dan tidak bermaruah yang menyelubungi Akta-akta penahanan tanpa bicara ini jelas bercanggah dengan prinsip keadilan, kebenaran dan ketelusan. Ianya sekali lagi menggambarkan citra sebenar Akta-akta ini yang sangat arbitrari dan tiada kena mengena dengan keselamatan negara. Kami menuntut kerajaan untuk membebaskan semua tahanan dengan segera atau bicarakan mereka di mahkamah keadilan.


4.4 Maka, dengan ini SUARAM menggesa SUHAKAM agar:


  1. Segera campurtangan dalam soal ini dan memberikan tekanan kepada pihak polis dan pihak kerajaan untuk segera membenarkan para peguam dan ahli keluarga untuk berjumpa dengan tahanan dengan serta merta


  1. Pihak SUHAKAM mengadakan dialog bersama dengan kerajaan dan polis untuk membawa isu penafian khidmat peguam kepada tahanan yang ditahan dibawah ISA, EO dan LLPK.


  1. Menggunakan kuasa/peruntukan undang-undang yang terdapat pada SUHAKAM untuk membawa isu-isu penahanan tanpa bicara dan penggunaan Akta-akta pencegahan ini ke peringkat Antarabangsa dan mendapatkan sokongan mereka untuk memperhentikan Kerajaan Malaysia untuk menindas rakyatnya sendiri dibawah akta-akta seperti ini dan SUHAKAM sebagai Suruhanjaya Hak Asasi haris memastikan rakyat Malaysia selamat, tidak dianiaya dan dilindungi hak asasi mereka.


Disediakan oleh:

Nalini.E

Penyelaras Kempen Tahanan Tanpa Bicara

SUARAM